Saturday, February 26, 2011

KEJAMNYA GADDAFI BUNUH 1000 RAKYATNYA DALAM BEBERAPA HARI

21 maut pihak berkuasa Libya, Bahrain dan Yaman guna kekerasan.




MANAMA: Polis pencegah rusuhan menyerbu Dataran Mutiara di ibu negara Bahrain sambil menembak peluru getah dan gas pemedih mata bagi menyuraikan penunjuk perasaan yang berkhemah sepanjang malam, menyebabkan sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan berpuluh lagi cedera.
Saksi dan kumpulan pembangkang berkata, sekurang-kurangnya 95 orang cedera apabila polis melancarkan operasi tanpa amaran kira-kira jam 3 pagi waktu tempatan, menyebabkan penunjuk perasaan lari bertempiaran.
“Mereka menyerang dataran tempat beratus-ratus orang berkhemah. Mana-mana penunjuk perasaan yang berdegil dikejar,” kata seorang saksi, Fadel Ahmad, 37.
Di Hospital Salmaniya, hospital utama di Manama, kakitangan perubatan melaporkan keadaan sesak dan sibuk ketika ambulans dan kenderaan persendirian, berulang-alik membawa mangsa yang cedera, tiga hingga empat jam selepas serbuan dilakukan.




Di LIBYA, sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh dalam pertempuran antara penunjuk perasaan dengan pasukan keselamatan, di bandar Al-Baida, lapor pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ketika negara itu berdepan ‘Hari Kemarahan’ selepas menerima gesaan aktivis menerusi internet.
Laman web yang dipantau dari Cyprus dan kumpulan hak asasi Libya beribu pejabat di London berkata, pasukan keselamatan dan militia Jawatankuasa Revolusi melepaskan tembakan peluru hidup bagi menyuraikan kumpulan belia yang berhimpun secara aman menyebabkan empat orang terbunuh.
Bagaimanapun, kumpulan hak asasi, Human Rights Solidarity beribu pejabat di Geneva berkata, penembak curi yang bersembunyi di bumbung bangunan, membunuh sekurang-kurangnya 13 orang dan mencederakan berpuluh yang lain.
Rakaman video yang tersebar di internet menyiarkan gambar berpuluh pemuda Libya yang berkumpul di Al-Baida malam semalam melaungkan kata-kata ‘rakyat mahu menjatuhkan rejim’ manakala sebuah bangunan kelihatan terbakar.
Di YAMAN, polis melepaskan tembakan ke arah orang ramai dalam pertempuran di Sanaa, menyebabkan dua orang terbunuh, kematian pertama dalam tunjuk perasaan yang sudah berlarutan selama tujuh hari, bagi mendesak presiden Ali Abdullah Salleh meletak jawatan.
Saksi berkata, kira-kira 2,000 anggota polis dikerah ke jalan raya, menutup pagar Universiti Sanaa dengan rantai besi bagi menghalang beribu-ribu pelajar yang berhimpun daripada berarak keluar dan menyertai penunjuk perasaan di tempat lain.
Kumpulan yang menamakan diri mereka Pergerakan 24 Februari menggesa rakyat Yaman menyertai perhimpunan ‘Sejuta Rakyat’ dalam apa yang dinamakan ‘Kemarahan Jumaat’ di semua bandar di Yaman mendesak Presiden Ali Abdullah Salleh disingkirkan selepas berkuasa selama 32 tahun. – Agensi

0 comments:

Post a Comment

Free Backlink